Tanggal 12 Rabiulawal merupakan satu tarikh keramat dalam sejarah umat Islam di seluruh dunia. Maulidur Rasul tahun 1435H atau tahun Masehi 2014 jatuh pada 14 Januari 2014 dengan Tema sambutan
"WASATIYYAH TONGGAK KESATUAN UMMAH"
14 Januari 2014 (Selasa) merupakan cuti umum semua rakyat di Malaysia.
MAULIDUR RASUL; KEPERIBADIAN TERPUJI PERJUANGAN DIHAYATI
Pengenalan
Tanggal 12
Rabiulawal merupakan satu tarikh keramat dalam sejarah umat Islam di
seluruh dunia. Kedatangan Nabi Muhammad merupakan satu rahmat terbesar
dan anugerah teragung yang Allah berikan kepada alam semesta ini.
Manusia pada saat itu berada dalam kekufuran, kegelapan syirik, tidak
mengenal pencipta mereka. Pada masa tersebut, penyembahan terhadap
berhala-berhala adalah merupakan satu penghormatan, perzinaan adalah
suatu kebanggaan, mabuk dan berjudi berleluasa, merompak serta membunuh
adalah suatu keberanian. Sehubungan ini Allah mengutus seorang Rasul
yang ditunggu oleh umat manusia untuk menghentikan semua kerosakan ini
dan membawanya kepada cahaya Ilahi.
Menghayati Perjuangan Nabi
Bersempena
sambutan Maulidur Rasul yang diadakan saban tahun menuntut kita
sama-sama menghayati dan mencontohi ketabahan serta kesungguhan baginda
dan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam sehingga terpancar
kecemerlangan dan kegemilangan Islam merentasi dunia timur dan barat.
Selain itu, nabi Muhammad juga amat dikenali sebagai seorang yang suka
menghubungkan silaturrahim, menolong orang yang dalam kesusahan,
membantu anak yatim dan ibu tunggal, seorang yang pemurah dan
sebagainya.
Keperibadian Terpuji
Masyarakat Arab
Quraisy amat senang dengan keperibadian yang dimiliki oleh nabi
Muhammad, baginda pernah hidup bersama-sama masyarakat Quraisy, pernah
bersama-sama membangunkan semula Kaabah yang runtuh akibat banjir.
Baginda dikenali di kalangan masyarakat Arab sebagai seorang yang baik
budi pekertinya, seorang yang amanah sehingga digelar al-amin.
Tetapi mengapa
tiba-tiba nabi Muhammad menjadi orang yang paling mereka benci? Apakah
orang Quraisy tidak kenal siapa baginda sehingga mereka ingin
membunuhnya? Mereka benar-benar telah merancang untuk membunuh nabi
Muhammad dengan berbagai-bagai perancangan jahat, namun baginda
diselamatkan oleh Allah. Allah merakamkan perancangan jahat orang
musyrikin untuk membunuh nabi Muhammad S.A.W akan tetapi Allah telah
menggagalkan perancangan mereka. Firman Allah dalam surat al-Anfal ayat
30:
"Ingatlah
(wahai Muhammad), ketika orang kafir musyrik ( Mekah ) menjalankan
perancangan jahat terhadapmu untuk menjarakkanmu atau membunuhmu atau
mengusirmu. Mereka menjalankan perancangan jahat dan Allah menggagalkan
perancangan jahat (mereka). Allah sebaik-baik yang menggagalkan
perancangan jahat".
Ketokohan
Baginda
Rasulullah S.A.W. mempunyai pandangan yang jauh, akal fikiran yang tajam
, semangat juang yang tinggi, kekuatan mental dan rohani serta tabah
dan berani dalam menempuh pelbagai cabaran dan dugaan yang seharusnya
dicontohi, sama ada di waktu penghijrahannya dari kota Mekah ke kota
Madinah atau selepasnya. Oleh yang demikian, umat Islam hendaklah
bangun membina kekuatan rohani seimbang dengan kekuatan mental dan
jasmani seperti yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah S.A.W. dalam
menyebar luas syiar Islam. Oleh itu setiap umat Islam adalah
bertanggungjawab mempertahankan agama Allah.
Ketokohan nabi
Muhammad sebagai manusia teragung yang pernah dilahirkan di muka bumi
ini memang tidak dapat disangkal lagi walaupun oleh
orientalis-orientalis dari barat. Jika hendak dibandingkan dengan ajaran
lain seperti Kristian, Buddha, mahupun Yahudi, Rasulullah (S.A.W)
merupakan satu-satunya pengasas agama yang secara jelas sejarahnya
diceritakan sejak baginda dilahirkan sehingga baginda wafat. Ketokohan
Nabi Muhammad (S.A.W) dalam memimpin sebuah negara, menjadi seorang
jeneral perang, menunjukkan contoh yang terbaik kepada umatnya bagaimana
untuk menjadi seorang sahabat, ayah, suami, anak dan lain-lain
menjadikan baginda sebagai manusia yang teragung yang pernah dilahirkan
hingga ke hari ini.
Keadaan Kucar kacir
Keadaan dunia
pada masa itu amat tenat dan kucar kacir. Manusia pada ketika itu telah
berperangai kebinatangan. Terlalu banyak kelakuan buruk yang melingkari
masyarakat ketika itu. Bukan sahaja di semenanjung tanah Arab, bahkan
di negara Parsi dan juga Rom. Kehidupan mereka sungguh teruk, meminum
arak menjadi satu kebanggaan. Persundalan dianggap satu keseronokan,
amalan riba' berleluasa dalam perniagaan, hidup berpoya-poya menjadi
tanpa haluan.
Kekejaman yang
dilakukan dianggap satu keperkasaan. Kekuatan digunakan untuk menindas.
Kekuasaan digunakan untuk mengaut kekayaan. Para penguasa selalu
dimuliakan bahkan kadangkala dianggap sebagai tuhan. Orang awam yang
lemah selalunya di perhambakan. Kepandaian sering digunakan untuk
menipu. Setiap saat akal sentiasa digunakan untuk berbuat jahat dan
untuk memenuhi tuntutan nafsu. Demikianlah gambaran masyarakat ketika
baginda diutuskan. Apa yang perlu dilakukan oleh umat Islam pada masa
kini adalah menjadikan Nabi Muhammad sebagai contoh teladan yang paling
sekali.
Demi
sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan
yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah
dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati
Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).
(al-ahzab 21).
Kesimpulan
Oleh yang
demikian wajarlah kita merenung kembali sirah Rasulullah (S.A.W) dan
mengkaji sendiri tentang manusia teragung ini dan peranannya dalam
pembangunan manusia sejagat. Maulidur Rasul juga merupakan masanya bagi
umat Islam untuk memperingati semula Rasulullah s.a.w. dan seterusnya
menjadikan contoh sifat dan kehidupannya kerana baginda adalah teladan
terbaik.
Sumber: Akhbar Utusan Malaysia
Lirik Lagu Rasulullah - Hijjaz
Album : Cahaya Ilahi
Rasulullah dalam mengenangmu
Kami susuri lembaran sirahmu
Pahit getir perjuanganmu
Membawa cahaya kebenaran
Engkau taburkan pengorbananmu
Untuk umat mu yang tercinta
Biar terpaksa tempuh derita
Cekalnya hatimu menempuh ranjaunya
Tak terjangkau tinggi pekertimu
Tidak tergambar indahnya akhlak mu
Tidak terbalas segala jasa mu
Sesungguhnya engkau Rasul mulia
Tabahnya hatimu menempuh dugaan
Mengajar erti kesabaran
Menjulang panji kemenangan
Terukir nama mu di dalam Al-Quran
Rasulullah kami umatmu
Walau tak pernah melihat wajah mu
Kami cuba mengingatimu
Dan kami cuba mengamal sunnah mu
Kami sambung perjuanganmu
Walau kita tak pernah bersua
Tapi kami tak pernah kecewa
Allah dan Rasul sebagai pembela