Pages

Friday 1 November 2013

Muharram sebagai bulan pertama bagi tahun Hijrah


Permulaan penggunaan Kalendar Tahun Hijrah / Hijriah adalah hasil dari ilham Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Saiyidina Umar Al-Khattab radhiyallahu `anhu. Ini adalah turutan dari Kesatuan Arab yang ditubuhkan di bawah naungan Islam pada zamannya.
Ada satu riwayat lain yang mengatakan bahawa Gabenor Abu Musa Al-As’ari telah mengirimkan surat kepada Saidina Umar r.a minta beliau menjelaskan tentang tahun bagi tarikh surat/arahan Umar yang telah dihantar kepadanya. Maka dengan ini beliau (Umar r.a) mahukan satu kalendar / taqwim Islam yang khas untuk menggantikan tahun rujukan kalendar yang berbagai-bagai yang digunakan oleh bangsa-bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain pada zaman itu.
Di kalangan bangsa Arab sendiripun ada berbagai-bagai kalendar yang digunakan seperti Kalendar Tahun Gajah, Kalendar Persia, Kalendar Romawi dan kalendar-kalendar lain yang berasal dari tahun peristiwa-peristiwa besar Jahiliah. Maka Umar telah memilih tahun yang terdapat di dalamnya peristiwa paling agung dalam sejarah Rasullullah s.a.w untuk dijadikan asas permulaan tahun pertama bagi kiraan kalendar / taqwim Islam.
Peristiwa tersebut adalah peristiwa hijrah Rasullullah saw dari Makkah ke Madinah. Ini adalah kerana dengan hijrah inilah permulaan pertolongan Allah kepada RasulNya dan agama Islam ditegakkan. Hasil dari itu, Kesatuan Arab lebih sistematik, bersatu dan tersusun serta mendapat berbagai-bagai kejayaan besar dan bertambah kuat hasil dari pilihan Umar itu.
Di antara kejayaan besar Islam waktu itu ialah kerajaan Kisra dapat ditumbangkan, Baitul Muqaddis dibebaskan dari Rom dan Masjidil Aqsa dibangunkan. Setelah Umar membandingkan kalendar tersebut dengan kalendar-kalendar Persia dan Romawi, didapati bahawa kalendar ini ternyata lebih baik. Maka dengan itu Umar mengisytiharkan Kalendar Tahun Hijrah adalah Kalendar / Taqwim Islam yang rasmi.



Penghijrahan sebahagian para sahabat ke Habsyah pada tahun kelima selepas nubuwwah (selepas Nabi diutus menjadi Rasul) adalah merupakan perintis jalan kepada hijrah yang lebih besar dan penting dalam sejarah perjuangan Rasulullah S.A.W.. Peristiwa hijrah ke Madinah merupakan peristiwa penting di dalam sejarah Islam, kerana ekoran darinya terbentuk sebuah negara Islam di Madinah.
   Gambaran awal bahawa Rasulullah S.A.W. akan berhijrah telah diutarakan oleh Waraqah bin Naufal sewaktu Baginda S.A.W.. mula-mula menerima wahyu yang pertama dan Allah S.W.T. Kata Waraqah:
"Demi Tuhan yang diriku berada didalam genggamanNya, sesungguhnya kamu adalah nabi bagi umat ini. Kamu telah didatangi malaikat Jibril yang pernah datang menemui Nabi Musa a.s. Demi sesungguhnya kamu akan dibohongi, disakiti, dihalau dan akan diperangi. Jika aku berkesempatan dengan hari itu, nescaya aku akan menolongmu untuk menegakkan agama Allah dengan pertolongan yang diketahuiNya."
Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya,
"Tidak ada hijrah selepas pembukaan Kota Mekah kecuali jihad dan niat"
   Di dalam kitab Mestika Hadis telah menghuraikan bahawa perjuangan agama dan niat yang baik tidak terhad masanya bahkan sentiasa tertuntut untuk diamalkan oleh setiap umat Islam selagi hayat dikandung badan. Tuntutan hijrah berlaku sepanjang zaman seperti berhijrah dari satu tempat yang tidak ada tempat untuk belajar ilmu ke tempat yang boleh menuntut ilmu, juga dari satu tempat yang banyak melakukan maksiat ke tempat yang tidak ada maksiat.
Sebab-sebab berhijrah
Di antara sebab mengapa Rasulullah S.A.W. berhijrah ke Madinah ialah :
  1. Penolakan Kafir Quraisy, juga penduduk Taif terhadap dakwah Islam yang dijalankan oleh baginda.
  2. Jemputan penduduk Madinah yang telah memeluk Islam apabila mereka berkunjung ke Mekah pada musim haji, supaya Rasulullah S.A.W. berhijrah ke Madinah. Ini berlaku setelah termeterinya Perjanjian Aqabah I dan Perjanjian Aqabah 2, dimana penduduk-penduduk Madinah (yang telah menerima Islam) telah bersumpah setia untuk melindungi baginda dari segi keselamatan agama Islam itu sendiri. Ini menampakkan bahawa hijrah tersebut diiringi bersama iman dan jihad.
  3. Rasulullah S.A.W. memerlukan tapak baru yang lebih baik, kerana percubaan untuk mengembangkan Islam di Mekah dan Taif tidak mendapat sambutan yang menggalakkan, malah tekanan terhadap baginda semakin hebat. Sebab-sebab berlakunya penentangan dari Musyrikin Quraisy terhadap dakwah baginda antaranya adalah disebabkan faktor agama, sosial, politik dan ekonomi.
  4. Kemungkinan besar dakwah akan lebih mendapat sambutan di Madinah, kerana disamping kumpulan Aus dan Khazraj terdapat juga sokongan daripada Ahli Kitab (Yahudi) yang menceritakan kebangkitan Nabi akhir zaman itu mendiami Kota Madinah.
Hijrah; Korbankan Kepentingan Diri
   Peristiwa hijrah merupakan ujian keimanan kepada para sahabat. Mereka yang yakin kepada Allah dan RasulNya serta kasih kepada Rasulullah lebih dari kasih kepada keluarga, harta benda dan sebagainya telah bertekad untuk berhijrah dari Mekah ke Madinah. Sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W. seperti Suhaib ar-Rumi contohnya telah berhijrah meninggalkan kekayaannya di Mekah demi untuk bersama baginda.
Di dalam Al-Quran, Allah S.W.T. berfirman, maksudnya:
"Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah dan Allah itu Maha Penyantun terhadap hamba-hambaNya"
                                                     (al-Baqarah: 207)
   Ali bin Abi Talib yang masih muda juga sanggup menggantikan tempat tidur Rasulullah S.A.W. sebagai suatu muslihat untuk mengelirukan musyrikin Quraisy apabila mereka merancang untuk membunuh Rasulullah S.A.W. kerana sekiranya Rasulullah S.A.W. berjaya mengumpul para penyokong di luar Kota Mekah hal tersebut akan memberikan tamparan hebat kepada kekuasaan mereka.
   Amir bin Fuhairah, hamba Abu Bakar as-Siddiq pula telah memainkan peranan menghapuskan kesan perjalanan ke Gua Thur dengan membawa kambing-kambingnya yang banyak.
   Abdullah bin Abu Bakar pula telah bertindak sebagai pengintip yang memerhatikan gerak laku Musyrikin Quraisy serta melaporkan kepada Rasulullah S.A.W..
   Asma' binti Abu Bakar yang mewakili kaum muslimat telah berperanan menghantar bekalan makanan kepada Rasulullah S.A.W. dan ayahnya iaitu Abu Bakar As-Siddiq yang sedang bersembunyi di Gua Thur.
   Malah Abu Bakar As-Siddiq seorang sahabat yang setia telah menemani Rasulullah S.A.W. hingga akhir hijrah. Firman Allah maksudnya:
"Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah pun menolongnya (iaitu) ketika orang-orang kafir (Musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari negeri Mekah) sedang dia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya, "Janganlah engkau berdukacita sesungguhnya Allah bersama-sama kita”. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (Malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya, Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan kalimah Allah (Islam) yang tertinggi (selama-lamanya) kerana Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana"
                                                        (at-Taubah: 40)
   Berlainan pula dengan Saidina Umar al-Khattab yang mengisytiharkan bahawa beliau akan berhijrah secara terang-terangan. Umar berucap kepada orang-orang Quraisy;
"Sesiapa yang mahu ibunya kehilangan anak, meyatimkan anaknya, atau menjandakan isterinya,, silalah berjumpaku di belakang lembah ini. "
   Begitu pun ada juga yang menyesal kerana lewat berhijrah disebabkan berlakunya gangguan anak isteri serta keluarganya. Apabila mereka sampai ke Madinah rasa didapati bahawa para sahabat yang berhijrah terlebih awal daripadanya mendapat lebih banyak ilmu-ilmu agama kerana pada setiap hari mereka mendengar kuliah dari Baginda. Lalu mereka yang baru berhijrah menyesal di atas sikap anak isterinya kerana menyebabkan dirinya mendapat kerugian. Allah S.W.T berfirman maksudnya:
" Wahai orang-orangyang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak memarahi (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihi)."
                                                    (at-Taghabun: 14)
   Tetapi yang paling malang ialah mereka yang telah beriman tetapi enggan berhijrah kerana memikirkan kepentingan bahkan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik dan sanggup menyertai peperangan Badar untuk menentang saudara-saudara seIslam sehinggakan ada diantaranya yang terbunuh di sana, walhal mereka masih boleh berikhtiar untuk menyelamatkan diri. Allah S.W.T berfirman maksudnya:
"Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyaivanya oleh Malaikat semasa mereka sedang menganiayai diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir Musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata:"Apakah yang telah kamu lakukan mengenai agama kamu? Mereka menjawab: "Kami dahulu ialah orang-orang yang tertindas di bumi," Malaikat bertanya lagi: "Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?"Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu ialah seburuk-buruk tempat kembali."
                                                            (an-Nisa':97)
   Perancangan serta aktiviti yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. selepas hijrah adalah:
  1. Membina masjid yang merupakan usaha pertama yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. bertujuan antara lainnya ialah untuk menegakkan syiar Islam.
  2. Mempersaudarakan golongan Muhajirin (para sahabat yang berhijrah dari Mekah) dengan golongan Ansar (penduduk Madinah yang terdiri dari puak Aus dan Khazraj), dengan meletakkan Islam sebagai ikatannya. Perpaduan yang diasaskan atas dasar iman ini telah menolak cara hubungan sebelum ini yang berdasarkan kepada keturunan, warna kulit, tanah air dan sebagainya. Oleh itu baginda bersabda:
    "Allah S.W.T tidak melihat kepada rupa paras kamu dan bentuk tubuh badan kamu, tetapi Allah melihat kepada hati dan amalan kamu."
                                           (Bukhari & Muslim)
    Allah Juga berfirman, maksudnya:
    "Berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai, dan kenangkanlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekafiran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya."
                                                  (ali-imran: 103)
  3. Mengatur Piagam Madinah (Sahifah Madinah) yang merupakan perjanjian di antara pihak pemimpin dengan rakyat yang mengandungi 47 fasal. la boleh disimpulkan sebagai dasar negara seperti:
  • Mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar.
  • Menjelaskan kedudukan orang bukan Islam di dalam sebuah negara Islam.
  • Mengisytiharkan negara Madinah sebagai sebuah negara Islam.
  • Meletakkan hukum yang tertinggi iaitu hukum Allah (Al-Quran) dan Al-Hadith untuk dilaksanakan.
  • Menjadikan Rasulullah S.A.W. sebagai ketua negara dan kepimpinan negara seterusnya mestilah terdiri dari kalangan orang Islam.
Pengajaran Hijrah
  1. Berjaya menegakkan negara Islam di Madinah serta dapat melaksanakan hukum Allah S.W.T. dengan Rasulullah S.A.W. sebagai ketua negaranya.
  2. Dapat membentuk satu pasukan tentera yang mantap sebagai persediaan dalam menghadapi musuh dan menjaga keselamatan negara.
  3. Memperkembangkan dakwah menjadi semakin luas di mana pengaruh Islam tersebut bukan sahaja tersebar di Tanah Arab malah ke daerah-daerah di luar dari Semenanjung Tanah Arab.
  4. Ekonomi masyarakat Islam bertambah maju.

Kejayaan yang dicapai di sebalik peristiwa hijrah itu merupakan hasil perancangan serta perjuangan gigih Rasulullah S.A.W.berserta para sahabat yang diiringi dengan pertolongan Allah S.W.T.
Firman Allah maksudnya:
"Dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamanya (Agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Berkuasa.”
                                                               (al-Haj:40)
   Sebenarnya peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. dari Mekah ke Madinah merupakan peristiwa yang paling penting kerana dengan hijrahlah Islam terus berkembang maju bukan sahaja di Semenanjung Tanah Arab malah tersebar luas ke seluruh dunia. Dengan peristiwa itulah maka para sahabat telah mencadangkan supaya kalendar Islam dikira dari permulaan hijrah.


MUHARRAM BUKAN BULAN NABI BERHIJRAH
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Soalan: Dr Asri, menjelang bulan Muharram, kita umat Islam akan memperkatakan tentang bulan ini sebagai bulan Hijrah, di mana Nabi s.a.w berhijrah dari Mekah ke Madinah. Bolehkah Dr bincangkan hikmah Nabi s.a.w memilih bulan Muharram sebagai bulan hijrah baginda? Apakah lagi yang patut kita lakukan untuk menyambut bulan hijrah ini selain dari apa yang biasa masyarakat kita lakukan?

Nasir, Kuantan.

Jawapan Dr MAZA: Terima kasih atas soalan yang diberikan. Sebenarnya, banyak perkara dalam mengambil fakta agama dibuat secara ikutan tanpa penelitian dan semakan yang pasti. Kita sering mengikut apa yang orang lain sebut atau ungkapkan tanpa kita memastikan ketepatannya. Malang sekali, bukan sahaja berlaku dalam kalangan masyarakat awam, tetapi juga dalam kalangan mereka yang terpelajar. Untuk menjawab soalan saudara, saya ingin sentuh beberapa perkara berikut;

1. Bulan Muharram adalah bulan pertama yang dipilih oleh Saidina ‘Umar bin al-Khattab untuk kiraan bulan bagi tahun hijrah. Maksudnya, dua belas bulan dalam satu tahun, Saidina ‘Umar al-Khattab r.a. membuat keputusan untuk memilih Muharram sebagai bulan pertama bagi tahun Hijrah. Ini seperti bulan Januari bagi tahun masihi. Maka, telah berlaku salahfaham sesetengah pihak lalu menganggap Nabi s.a.w berhijrah dalam bulan Muharram. Itu andaian yang tidak tepat.
2. Dahulunya, orang Arab tidak mempunyai kiraan tahun. Mereka hanya mempunyai kiraan bulan dengan nama bulan seperti yang digunakan oleh umat Islam. Nama bulan-bulan hijrah kita hari ini diambil dari nama bulan-bulan ‘Arab. Cumanya, Arab tidak mempunyai kiraan tahun seperti mana bangsa Rumawi yang mempunyai kiraan tahun masihi mereka.
Di zaman Saidina Umar, umat Islam mencadangkan agar diwujudkan kiraan tahun bagi kalender umat Islam. Pelbagai cadangan diberikan termasuk dicadangkan tahun kelahiran Nabi s.a.w. untuk dijadikan tahun pertama kiraan kalendar umat Islam Namun ditolak oleh Amirul al-Mukminin Umar bin al-Khattab r.a. Beliau kemudiannya bersetuju tahun Nabi s.a.w berhijrah dijadikan tahun pertama kiraan tahun dalam kalendar umat Islam.
Kemudian timbul pula persoalan bulan manakah patut dijadikan bulan pertama. Pelbagai cadangan diberikan, termasuk bulan Ramadan. Namun, Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab r.a menolaknya kemudian memilih bulan Muharram. Ini disebabkan bulan tersebut umat Islam baru sahaja menyelesaikan ibadah haji. Bukan kerana bulan tersebut Nabi s.a.w berhijrah.
3. Sejarahwan besar al-Hafizd al-Imam Ibn Kathir (w. 774H) menyebut dalam karya sejarahnya al-Bidayah wa al-Nihayah:
Kata Muhammad bin Sirin: Seorang lelaki datang kepada Umar dan berkata: “Tetapkan tarikh seperti mana orang bukan arab lakukan dengan menulis pada bulan tertentu dan tahun tertentu”. Jawab Umar: “Cadangan yang baik”. Mereka berkata: “Tahun bila kita hendak mulakan?”. Ada yang mencadangkan tahun kebangkitan Nabi s.a.w, ada pula cadangan tahun kewafatan dan lain-lain. Lalu mereka bersetuju tahun baginda berhijrah. Lalu mereka bertanya lagi: “Bulan manakah hendak kita mulakan?”. Ada yang mencadangkan Ramadan. Ada yang mencadangkan “Muharram kerana ia bulan yang orangramai baru sahaja selesai menunaikan haji dan ia juga termasuk dalam bulan-bulan haram”. Lalu mereka pun bersetuju menjadikan bulan Muharram bulan yang pertama. (al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/252, Beirut: Dar al-Fikr).
Riwayat ini jelas menunjukkan pemilihan Muharram sebagai bulan pertama dalam kalender Hijrah bukanlah kerana ia bulan yang Nabi s.a.w berhijrah padanya. Ia hanya bulan pilihan yang dijadikan bulan pertama bagi kalendar hijrah.
4. Menurut para pengkaji Sirah Nabi s.a.w, hijrah berlaku dalam Bulan Rabi’ul Awwal, bukan Bulan Muharram. Ini disebut dalam pelbagai riwayat. Sebuah karya kajian sirah Nabi s.a.w yang mendapat anugerah dan pengiktirafan besar dalam dunia Islam iaitu al-Rahiq al-Makhtum karangan al-Syeikh al-Mubarakfuri telah menyimpulkan bahawa Nabi s.a.w keluar dari rumah baginda ke rumah Abu Bakar al-Siddiq pada malam 28 haribulan Safar, tahun ke empat belas selepas menjadi rasul. Dari situ, baginda bersama Abu Bakar ke Gua Thur. Mereka berdua berada dalam gua tersebut selama tiga malam. Pada hari pertama bulan Rabiul Awwal baginda dan Abu Bakar keluar dari Gua Thur lalu memulakan hijrah ke Yathrib (Madinah). Mereka dipandu oleh Abdullah bin ‘Uraiqit. Pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal, Nabi s.a.w sampai ke Quba. Baginda berada di Quba selama empat hari dan mengasaskan Masjid Quba. Pada 12 Rabiul Awwal, selepas solat Jumaat, barulah baginda memasuki Yathrib yang kemudian dinamakan Madinah. Inilah kesimpulan yang diambil dari pelbagai riwayat serta catatan ahli sejarah dan hadis. (lihat perincian: al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, 163-172. Beirut: Muassasah Fuad).
gua_thur.jpg
Gambar Hiasan – Gua Thur
5. Dengan ini, berdasarkan maklumat yang dinyatakan tadi, jelas bulan muharram bukanlah bulan baginda Nabi s.a.w berhijrah, ataupun memulakan hijrah. Kesimpulannya; baginda keluar dari rumah pada akhir bulan Safar. Memulakan hijrah pada hari pertama Rabiul Awwal dan sampai ke Madinah pada 12 Rabiul Awwal. Jika ada perbezaan pendapat dalam kalangan sejarahwan, ia berkisar pada hari-hari yang disebutkan itu sahaja. Adapun bulan, mereka bersetuju hijrah Nabi s.a.w pada Rabiul Awwal. Dengan itu, kita sepatutnya tahu bahawa bulan Muharram adalah bulan pertama dalam kiraan kalendar hijrah, bukan bulan hijrah Nabi s.a.w.
6. Penetapan kalendar hijrah yang dibuat oleh Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab r.a adalah langkah yang tepat bagi memenuhi keperluan urusan pentadbiran dan kehidupan umat Islam. Walaupun idea itu bermula dari cadangan meniru cara pengurusan bukan muslim, tetapi meniru bukan muslim dalam perkara yang bukan ibadah dan pula dapat memberikan faedah kepada umat Islam adalah sesuatu yang diizinkan, bahkan disuruh oleh Islam. Langkah Saidina Umar r.a. itu telah membantu pengurusan dan pentadbiran umat Islam sepanjang zaman. Maka, penetapan tarikh bagi tahun hijrah bukanlah bagi mengujudkan satu upacara agama, tetapi untuk urus tadbir umat.
7. Setelah kita jelas tentang latar penetapan tahun hijrah, iaitu ia berlaku pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab r.a bukan pada zaman Rasulullah s.a.w, maka sudah pastilah tiada apa-apa upacara ibadah khusus –sama ada solat khusus, atau puasa khusus atau bacaan khusus- yang Nabi s.a.w lakukan sempena tahun baru hijrah kerana kiraan tahun baru hijrah belum bermula pada zaman baginda. Pada zaman Umar dan khalifah-khalifah selepas Umar juga tiada sebarang upacara ibadah khusus sempena kedatangan tahun baru hijrah. Sebaik-baik petunjuk dalam ibadah ialah petunjuk Nabi s.a.w dan al-Khalafa al-Rasyidin.
8. Setiap hari, setiap waktu umur kita bertambah atau meningkat. Sama ada memasuki tahun baru atau tidak, hayat kita tetap bertambah singkat dan ajal semakin dekat. Setiap kita disuruh untuk berazam ke arah yang lebih baik, samada menjelang atau belum tahun yang baru. Itulah kehidupan dan jiwa seorang muslim. Masa tidak selalu menunggu kita. Kabaikan jangan ditangguh, keburukan jangan ditanggung. Jangan menunggu tahun baru untuk berubah kepada yang lebih baik. Jangan menunggu tahun baru untuk meninggalkan keburukan. Itulah jalan hidup yang patut kita fahami dan hayati. Itu sikap golongan soleh sepanjang zaman. Mereka sentiasa memohon kebaikan dan sentiasa beristighfar kepada Allah.
9. Jika tahun baru hendak diingati atau dihayati, mungkin di sudut kedatangan tahun baru boleh menjadi pemangkin semangat dan azam. Membantu penilaian dan perancangan. Maka, ia akan menggalakkan kita memuhasabah diri; apakah kejayaan amalan baik atau dosa yang telah kita lalui tahun lalu? Juga, yang penting apakah perancangan dan azam kebaikan bagi kalendar yang akan datang. Maka kita pun berazam ke arah prestasi yang lebih baik.



 





No comments:

Post a Comment