Bila sebut Ramadan mesti kita tidak sabar menantinya .. bila kita ikhlas melakukan kita rasa tenang dan gembira segalanya rasa dipermudahkan.. In Shaa Allah , Allahuakbar..
tahun lepas saya berpuasa ketika mengandung anak yang sulong ( Nuha Amanda) sekarang usianya sudah 6 bulan :)
ok kita berpatah kepada topik kita :-
Qiamullail Amalan Utama Ramadhan
Pada waktu siangnya umat Islam diwajibkan berpuasa,
manakala malamnya disunatkan ‘Qiamullail’ iaitu ‘memakmur dan menghidupkan
malam dengan ibadat’.
Qiamullail dituntut dan dijanjikan dengan pelbagai
kelebihan. Antaranya sabda Baginda SAW: “Sesiapa yang melakukan
qiamullail pada Ramadhan kerana keimanan dan mengharapkan pahala akan
diampunkan dosa-dosanya yang lalu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesiapa beribadat
sesaat pada malam Qadar, kira-kira selama seorang penggembala memerah susu
kambingnya, maka adalah lebih disukai Allah daripada berpuasa setahun penuh.
Demi Allah yang telah mengutus daku dengan hak menjadi nabi, sesungguhnya
membaca satu ayat dari al-Quran pada malam Qadar adalah lebih disukai Allah
daripada mengkhatamkannya pada malam-malam yang lain.“
Malam al-Qadar (Lailatul Qadar)
Salah satu kelebihan yang Allah SWT berikan untuk umat
Islam dalam bulan Ramadhan ialah ‘Malam al-Qadar’. Lailatul Qadar juga dikenali
dengan nama ‘Lailatul Syaraf’ bermaksud malam kemuliaan dan ‘Lailatul
Tajalli’ yang bermakna malam Allah melimpahkan cahaya dan hidayah-Nya
kepada orang yang berpuasa pada siang hari dan beribadat pada sebelah malamnya.
Dalam Surah al-Dukhan, ayat 2, Allah SWT telah berfirman:
“Sesungguhnya Kami telah turunkan al-Quran itu pada malam yang penuh
keberkatan dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan.” dan firman-Nya
lagi dalam Surah al-Qadr, ayat 1 hingga 3: “Sesungguhnya Kami
menurunkannya (Al_Quran) pada Lailatul Qadar. Tahukah kamu apakah Lailatul
Qadar itu? Lailatul Qadar adalah lebih baik daripada seribu bulan.”
Ini bererti sesiapa yang beribadat pada malam-malam
tersebut digandakan pahala dan diberikan ganjaran yang amat tinggi di sisi
Allah SWT. Gandaan pahala melakukan ibadah pada malam ini dikatakan mempunyai
nilai lebih 29,500 kali ganda. Maka ianya boleh dijadikan perangsang kepada
umat mukmin bagi melipat-gandakan amal ibadat pada malam akhir Ramadhan
al-Mubarak.
Malam itu Allah mencucuri pelbagai rahmat, keampunan
dan keberkatan kepada orang yang beramal dengan khusyuk dan berdoa dengan
penuh keikhlasan. Pada malam ini juga turunnya para Malaikat bersama-sama
turunnya berkat dan rahmat Allah yang dikhaskan untuk malam ini.
Allah SWT amat Penyayang kepada hamba-Nya sekiranya kita
tidak berputus asa dan menggunakan sepuluh malam terakhir ini bagi menebus
kesilapan seumur hidup kita yang lalu.
Firman Allah S.W.T: “Pada malam itu (Lailatul
Qadar) dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.”
(Al-Dukhan : 4)
Maksud ‘urusan yang penuh hikmah’ ialah pada malam
tersebut Allah menentukan takdir setiap makhluk baik berupa rezeki,
umur, sakit atau sihatnya seseorang dan ajal manusia untuk jangka masa setahun,
iaitu dari malam al-Qadar tahun ini hingga ke malam al-Qadar tahun hadapan.
Amalan Pada Malam Lailatul Qadar
Menggandakan amalan sunat pada 10 hari terakhir Ramadhan
bagi mengharapkan keberkatan dan kebesaran malam ‘Lailatul Qadar’ seperti
beriktikaf di masjid dan sebagainya.
- Menghidupkan malam-malam Ramadhan
dengan mendirikan Qiamullail.
- Habiskan malam beramal ibadat di
masjid (beriktikaf).
- Solat Qiamulail sebanyak mungkin.
- Solat Tarawih 20 rakaat, tanpa
witir.
- Bermula 12 malam, Solat Tahajud 8
rakaat dan Solat Witir 3 rakaat.
.Itikaf Lailatul Qadar
Itikaf ini dikenali juga sebagai ‘Iktikaf
Asyrul-Awahir’. Seseorang yang ingin beriktikaf hendaklah masuk ke
dalam masjd sebelum terbenam matahari kedua puluh Ramadhan dan waktu tamat
iktikaf ialah selepas terbenamnya matahari pada hari terakhir Ramadhan. Iktikaf
menjadi sunnah muakkad jika dilakukan di bulan Ramadhan terutama
pada 10 terakhir Ramadhan.
Pada hari-hari tersebut Rasululllah SAW. mengajak isteri
dan keluarga serta para sahabat Baginda menghidupkan malam dan mengisinya
dengan pelbagai kegiatan ibadah yang menunjukkan ‘taqarrub‘ (mendekatkan
diri) kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT: “Dan janganlah dekati (jimak)
mereka (isteri kamu) dalam keadaan kamu beriktikaf di dalam masjid”.
(Al-Baqarah: 187)
Daripada Aishah r.a telah berkata : “Bahawa
Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh akhir Ramadhan , baginda menghidupkan
malam (Qiam dan membantu ahli keluarga untuk merebut kebaikan), mengejutkan
ahli keluarganya dan mengikat pakaiannya (bersungguh-sungguh dalam beribadat
dan melakukan kebaikan)” . ( Muttafaqun alaih)
Daripada Aishah r.a bahawa Nabi SAW beriktikaf pada 10
terakhir dari Ramadhan sehingga diwafatkan Allah, kemudian diteruskan
isteri-isteri baginda.. ( muttafaqun alaih)
Daripada Abi Hurairah r.a telah berkata : “Bahawa
Nabi SAW beriktikaf pada setiap kali Ramadhan pada 10 hari, tetapi beriktikaf 20
hari pada tahun kewafatan baginda”. ( Riwayat al-Bukhari, Abu Daud dan
Ibn. Majah).
Amalan Rasulullah SAW Di Malam Lailatul Qadar
Rasulullah SAW menganjurkan umatnya agar mencari dan
menghidupkan 10 malam terakhir Ramadhan. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa
yang beribadah pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada
keredaan Ilahi (ketakwaan), maka akan dihapuskan semua dosanya yang telah
lalu.” (Hadis riwayat Abu Hurairah, Bukhari dan Muslim).
Antara amalan yang dilakukan Rasululah SAW dan para
sahabat pada malam-malam terakhir Ramadhan ialah:
- Mandi, berpakaian cantik dan
berwangi-wangian.
- Beriktikaf iaitu mendampingi
masjid untuk mentaati Allah.
- Mengejutkan keluarga agar bangun
beribadah.
- Uzlah (tidak mendekati) isteri.
- Memperbanyakkan amal ibadat dan
berqiamulail di masjid atau surau.
- Menghadiri majlis ilmu,
mengulangkaji hadith, tafsir dan sirah nabi.
- Memperbanyakkan bertasbih, tahmid,
takbir, istighfar dan bersalawat.
- Membaca dan tadarus al-Quran serta
berzikir kepada Allah.
- Bersolat Tarawih, Witir, Tahajud,
Taubat dan solat Hajat.
- Bertaubat daripada segala
kesalahan dan dosa selama ini.
- Berdoa ke hadrat Ilahi. Baginda
SAW sering membaca doa: “Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah
kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta
peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih.”
- Berdoa mendapatkan keampunan dan
keberkatan malam itu.
Daripada Amru bin ‘Ash, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa
yang solat pada malam Ramadhan dan membaca 10 ayat daripada Al-Quran, maka dia
tidaklah dicatat sebagai orang yang lalai.”
Hadis Riwayat Abu Daud.
Rasulullah SAW tidak pernah sekalipun meninggalkan
iktikaf pada sepuluh malam terakhir Ramadhan sehinggalah baginda wafat.
Isteri-isteri baginda juga turut beriktikaf bersama-samanya ketika baginda
hidup dan selepas baginda wafat.
Doa Qiamullail
Rasulullah SAW sering membaca doa di bawah sebelum
Baginda melakukan Qiamullail;

Amalan Tengah Malam Lailatul Qadar
Di antara amalan-amalan yang disunatkan semasa
Qiamullail, iaitu mulai 12.00 tengah malam ialah;
- Mengambil wuduk dan
mendirikan Solat Sunat Wuduk.
- Membaca surah Ali Imran;
ayat 190 –200.
- Solat
Sunat Tahajjud – bagi memantapkan iman dan akidah tauhid.
- Solat
Sunat Hajat dan berdoa kepada Allah mohon dipertemukan dengan
Lailatul Qadar.
- Membaca Al-Quran.
- Beristighfar dan berzikir

7. Bertasbih dan
berselawat

8. Bersolat Sunat.
- Solat
Sunat Taubat – Mohon keampunan.
- Solat
Sunat Tasbih – Mengagungkan Yang Maha Esa.
- Solat
Sunat Lailatul Qadar – Tanda Syukur dapat meraih Malam Berkat.
- Solat
Sunat Witir. – Solat Penutup
BERDOA
a. Saat Makbul Doa
Rasulullah SAW amat menyukai dan menyuruh umatnya berdoa
pada Lailatul Qadar dengan meminta keampunan kepada Allah. Lailatul Qadar
adalah satu saat yang makbul dan sesiapa yang berdoa dan bertepatan doanya
dengan Lailatul Qadar, maka pastilah doanya dikabulkan Allah. Oleh kerana itu
perbanyakkanlah doa pada malam itu, khususnya pada:
- Masa berlalunya separuh malam.
- Ketika berada pada bahagian malam
yang akhirnya.
Ulama tasauf dan fikah terkenal, Sufian as-Sauri berkata:
“Berdoa pada Lailatul Qadar itu lebih disukai daripada mengerjakan solat.
Malah apabila seseorang membaca al-Quran, berdoa dan meningkatkan doanya kepada
Allah, mudah-mudahan dia memperoleh waktu yang mustajab.”
b. Doa Bertemu Lailatul Qadar
Orang yang bertemu dengan Lailatul Qadar akan terus
dingin badannya kerana dihampiri oleh para malaikat (sebentar sahaja).
Hendaklah segera kita membaca:

Dalam sebuah hadith riwayat Tirmizi, Ahmad dan Ibn Majah
bahawa Aisyah r.a. bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah,
sekiranya aku berada pada Lailatul Qadar (bertepatan dengan malam Qadar),
maka apa yang aku perlu buat? Baginda menjawab: “Bacalah:
اَللَّهُمَّ اِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيْمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ
عَنِّىْ وَاغْفِرْلِى.
“Allahumma innaka ‘afuwun karim
tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘anni wagh’firli”
Ya Allah! Sesungguhnya Dikaulah Maha Pengampun, Maha Pemurah lagi suka mengampun. Maka ampunilah dan lindungilah diriku.
Ya Allah! Sesungguhnya Dikaulah Maha Pengampun, Maha Pemurah lagi suka mengampun. Maka ampunilah dan lindungilah diriku.
c. Doa Di Malam Al-Qadar
Ini adalah salah satu doa di malam-malam Al-Qadar: malam
ke 19, 21, dan ke 23 Ramadhan.
بسم الله الرحمن الرحيم
Bismillâhir Rahmânir Rahîm
Dengan nama Allah Yang Maha
Pengasih Lagi Maha Penyayang.
اللهم صل على محمد وآل محمد
Allâhumma shalli ‘alâ Muhammad wa âli Muhammad
Ya Allah! Sampaikan
selawat kepada Rasulullah SAW dan keluarganya
اَللَّهُمَّ اِنِّي اَمْسَيْتُ لَكَ
عَبْداً دَاخِراً
Allâhumma innî amsaytu laka ‘abdan dâkhiran,
Ya Allah! Malam ini daku datang
kepada-Mu sebagai hamba-Mu yang hina,
لاَ اَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعاً وَلاَ
ضَرّاً، وَلاَ اَصْرِفُ عَنْهَا سُوْءاً،
lâ amliku linafsî naf’an wa lâ dharrâ, wa lâ ashrifu
‘anhâ sûan,
yang tidak mempunyai kemampuan
untuk memberi manfaat dan mudarat dan tak mampu menyingkirkan keburukan dari
diriku.
اَشْهَدُ بِذَلِكَ عَلَى نَفْسِي،
وَاَعْتَرِفُ لَكَ بِضَعْفِ قُوَّتِي، وَقِلَّةِ حِيْلَتِي،
Asyhadu bidzâlika ‘alâ nafsî, wa a’tarifu laka bidha’fi
quwwatî wa qillati hîlatî
Dengan itu daku bersaksi atas
diriku dan mengakui di hadapan-Mu tentang kelemahanku dan ketidakupayaanku,
فَصَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ،
Fashalli ‘alâ Muhammadin wa âli Muhammad
sampaikan selawat kepada
Muhammad dan keluarga Muhammad,
وَاَنْجِزْ لِي مَا وَعَدْتَنِي وَجَمِيْعَ
الْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ مِنَ الْمَغْفِرَةِ فِي هَذِهِ اللَّيْلَةِ،
wa anjizlî mâ wa’adtanî wa jamî’al mu’minîna wal mu’minât
minal maghfirati fî hâdzihil laylah
kurniakan padaku malam
ini, pengampunan dari-Mu sebagaimana telah Dikau janjikan padaku, pada kaum
mukminin dan mukminat,
وَاَتْمِمْ عَلَيَّ مَا آتَيْتَنِي
wa atmim ‘alayya mâ ataytanî
sempurnakan padaku apa yang
telah Dikau kurniakan padaku,
فَاِنِّي عَبْدُكَ الْمِسْكِيْنُ
الْمُسْتَكِيْنُ الضَّعِيْفُ الْفَقِيْرُ الْمَهِيْنُ.
fainnî ‘abdukal miskînul mustakîn, adhdha’îful faqîrul
mahîn
kerana aku adalah hamba-Mu yang
miskin dan papa, lemah, fakir dan hina.
اَللَّهُمَّ لاَ تَجْعَلْنِي نَاسِياً
لِذِكْرِكَ فِيْمَا اَوْلَيْتَنِي،
Allâhumma lâ taj’alnî nâsiyan lidzikrika fîmâ awlaytanî
Ya Allah! Jangan biarkan daku
lalai untuk mengingat-Mu, dalam pertolongan yang telah Dikau berikan,
وَلاَ لاِِحْسَانِكَ فِيْمَا اَعْطَيْتَنِي،
wa lâ li-ihsânika fîmâ a’thaytanî
dan kebaikan yang telah Dikau
anugerahkan.
وَلاَ آيِسًا مِنْ اِجَابَتِكَ وَاِنْ
اَبْطَأَتَ عَنِّي،
wa lâ âyisan min ijâbatika wa in abtha’ta ‘anni
Janganlah jadikan daku orang
yang berputus asa dari balasan-Mu walaupun Dikau menundakannya,
فِي سَرَّاءَ اَوْ ضَرَّاءَ، اَوْ
شِدَّةٍ اَوْ رَخَاءٍ،
fî sarra’ aw dharra’ aw syiddatin aw rakhâ’
dalam suka atau duka, bahagia
atau derita,
اَوْ عَافِيَةٍ اَوْ بَلاَءٍ، اَوْ
بُؤْسٍ اَوْ نَعْمَاءَ اِنَّكَ سَمِيْعُ الدُّعَاءِ
aw ‘âfiyatin aw bala’, aw bu’sin aw na’mâ’, innaka
samî’ud du’â’.
dalam keselamatan atau bencana,
sengsara atau kenikmatan. Sesungguhnya Dikau Yang Maha Mendengar permohonan
doa!
(Mafâtihul Jinân: bab 2, pasal 3)
Amalan Orang Uzur (Malam 21-30)
Cara beramal orang uzur di malam Lailatul Qadar.
1) Kepada orang tua dan lemah, telah dikira beramal Al
Qadar sekiranya solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah.
Solat berjemaah sangat diutamakan pada malam akhir Ramadhan.
Imam Malik dan Imam Syafie berkata: “Siapa yang solat Isyak dan Subuh
berjemaah pada malam al-Qadar, dia telah mengambil bahagiannya daripada malam
itu.”
2) Orang yang tidak sanggup solat malam yang panjang,
bacalah:
- Ayat akhir surah Al Baqarah
- Ayat Kursi
- Surah Yaasin
- Surah Al Zalazah
- Surah Al Qafirun
- Surah Al Ikhlas
3) Bagi orang yamg kuat dan cergas;
- Bangunkan isteri dan anak
- Mandi, bersuci dan berwuduk
- Solat malam –
Tahajjud,Taubat,Tasbih,Hajat,Istikharah
- Baca Al Quran.
Nabi SAW. bersabda: “Sesiapa bangun pada malam
lailatulqadar kerana dorongan iman dan mengharapkan pahala, maka diampunkan
dosa-dosanya terdahulu”. (Muttafaqun ‘alaih).
Fadilat Lailatul Qadar
Jika 10 hari pertama adalah bulan penuh kerahmatan; 10
hari pertengahan Ramadhan sebagai hari pengampunan segala dosa; Maka 10
hari terakhir Ramadan ialah kemunculan malam penuh berkat yang lebih
baik daripada seribu bulan. Padanya terdapat ‘Malam al-Qadar’
yang dinanti-nantikan oleh setiap Muslim yang beriman dan bertakwa.
Rasulullah SAW. bersabda: “Sesiapa yang kehilangan
malam itu, sesungguhnya dia telah kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan
kehilangan semua perkara itu kecuali orang yang telah diharamkan (tidak
mendapat petunjuk) daripada Allah.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
TANDA LAILATUL QADAR
Ketenangan yang dirasai pada malam al-Qadar ini
bersempena turunnya malaikat beserta pelbagai rahmat dan berkat untuk hamba-Nya
yang benar-benar menghayati kedatangannya. Firman Allah SWT.: “Turunlah
malaikat dan rohnya dengan izin Allah. Selamatlah malam itu hingga terbit
fajar.” (Surah al-Qadr, ayat 5 – 6).
Rasulullah SAW bersabda: “Pada saat
berlakunya Lailatul Qadaritu, malam terasa jernih, terang, tenang dan cuaca
sejuk tidak terasa panas tidak juga dingin. Dan pada pagi harinya matahari
terbit dengan jernih terang benderang tanpa tertutup sesuatu awan.”
(Hadis riwayat Imam Muslim, Ahmad, Abu Daud dan at-Tirmizi).
Sebahagian ulama berpendapat, orang yang mendapat
al-Qadar itu akan melihat beberapa tanda antaranya ialah:
a. Tanda malam Qadar ialah :
- Malam itu tenang, tidak dingin dan
tidak panas;
- Alam terang benderang walaupun
berada di tempat gelap.
- Segala yang ada di bumi dan langit
bagaikan bersujud ke hadrat Allah.
- Tiada kedengaran suara salakan
anjing.
- Mendengar salam malaikat dan tutur
kata mereka.
- Malaikat Jibril akan menyalami
orang yang beribadat pada malam itu dan tandanya ialah kita tiba-tiba rasa
sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak secara tiba-tiba.
b. Tanda malam al-Qadar telah berlaku adalah:
- Pada paginya terbit matahari
dengan bentuk putih bersih bagai bulan penuh.
- Sinar mentarinya tidak terasa
terlalu panas walaupun cahaya cerah memancar.
- Alam dan udara terasa begitu segar
dan bersih.
- Terasa seperti diperkenankan
segala doanya.
Bagaimanapun pahala ibadat pada malam al Qadar akan tetap
mendapat ganjaran dari Allah Ta’ala biarpun tandanya tidak dapat dilihat dengan
mata kasar.
Tujuan disembunyikan malam Lailatul Qadar itu mempunyai
hikmahnya tersendiri supaya kita berusaha mencarinya, meningkatkan ibadat pada
semua malam dan untuk menguji keimanan Islam terhadap janji Allah SWT.
Lailatul Qadar adalah satu malam untuk Allah berikan
kelebihan berlipat ganda kepada orang yang meyakini janji Allah. Mereka
bersungguh merebut peluang di penghujung Ramadan yang tidak diperoleh pada
bulan lain.
Nabi SAW bersabda: “Apabila malam akhir Ramadhan
maka menangislah langit dan bumi serta malaikat kerana musibah yang menimpa
umatku.” Sahabat bertanya: Apakah musibah itu? Rasulullah menjawab:
“(Musibah) kerana perginya Ramadhan kerana dalam bulan ini doa dimakbulkan
semua sedekah di terima dan semua kebaikan dilipat gandakan pahalanya serta
seksaan ditolak.” (Hadis diriwayatkan oleh Jabir)
Diharapkan semoga anda semua mengisi malam tersebut
dengan pelbagai ibadah yang disarankan dan menjauhkan diri daripada semua
perbuatan maksiat hingga ia benar-benar menjadi malam yang penuh kebaikan dan
keberkatan.
Bersamalah kita mengimarahkanlah 10 malam terakhir
Ramadhan dengan beribadat kepada Allah SWT secara ikhlas dan penuh keimanan,
mudah-mudahan kita mendapat kurniaan Allah SWT yang kelebihan pahalanya
melebihi 1,000 bulan atau 83 tahun umur kita.
والسلام
Sumber : http://shafiqolbu.wordpress.com
No comments:
Post a Comment